Wednesday 28 May 2014

Cerita aku (3)

Cerita aku (3)

Hendak dipendekkan cerita, aku berjaya juga tiba di hospital. Kuat juga kudratku. Ku gagahkan langkah ke dalam bilik dan kemudian ke atas katil. Jururawat tenang sahaja.  Sudah biasa agaknya melihat orang dalam kesakitan. Kelihatan seperti ingin membantu, tapi usahanya seperti tidak ikhlas langsung. Ikutkan hati, hendak sahaja aku tolak misi ke tepi. Tepi kau!!! (Well, i wish i had said that). Sabar Lana, sabar..

Tekanan darah dan perutku diperiksa oleh misi. "Misi, mana doktor ni..?" tanyaku dengan nada tidak sabar sambil menahan sakit.

"Saya sudah telefon doktor. Dia dalam perjalanan. Bila sakit, puan sedut gas ni dalam-dalam ya," sambil memberi aku sejenis tiub yang bersambung ke dinding. Setelah itu, dia terus keluar dari bilik. Takut kena marah agaknya. Aku cuba menyedut, tapi terasa seperti lebih menyusahkan hidup. Ku letak gas ke tepi.

Jam di dinding sudah pukul 6. "Mana doktor ni...,". Aku hanya mampu mengeluh menunggu ketibaan doktor yang tak kunjung tiba. Sakit perut makin memulas-mulas. Kini pinggangku sudah mula sakit. Sakitnya bagaikan ingin cirit-birit yang teramat sangat, tetapi terpaksa ku tahan untuk mengelakkan masalah yang lebih besar. Pinggangku pula bagaikan ingin tercabut dari badan. I need to get over this quickly.

Lutfi kelihatan helpless. Apa sahaja yang dilakukan pasti aku akan marah. Dia cuba mengurut belakangku, tapi tangannya ku tepis apabila sakit datang semula. Apabila dia tidak mengurut, pasti aku akan merengek untuk diurut. Tersenyum aku tatkala teringat balik saat ini. Tuhan sahaja yang
tahu betapa aku sayang pada suamiku ini.


 
                                                             ************


"Mana doktor ni...", kesabaran aku sudah tidak dapat dibendung lagi. DUA jam sudah berlalu. Hari pun sudah terang. Tepat jam 8 pagi, doktor ku masuk dengan memberi salam.

Sampai juga dia ni... Teruk sangat ke traffic jam di luar tu.. Ingin sahaja ku hamburkan kata-kata sinis ini.

"Ok Puan Lana, saya akan periksa jalan ya. Oh, sudah 8 cm! Saya beri dalam tiga jam, insyaAllah baby akan lahir,"


"TIGA JAM??" Oh aku tidak sanggup lagi tunggu lama-lama. Belum sempat doktor keluar dari bilik, aku teran sekuat hati sehingga pecah air ketubanku. Aku SUDAH bersedia untuk bersalin. Tolong jangan biarkan aku SAKIT lebih lama.

Doktor terpaksa memeriksa semula dan bukaan jalan sudah 10cm. Alhamdulillah, aku boleh memulakan proses melahirkan anakku. Kakiku kedua-dua belah diangkat ke atas umtuk memudahkan proses bersalin. Hatiku sungguh takut ketika itu. Adakah sakitnya benar-benar seperti bersabung nyawa? Adakah aku akan dapat lihat anakku? Adakah aku akan pergi menyahut panggilanNya? Adakah aku mampu melakukan ini semua? Tuhan Maha Mengetahui.

Mungkin aku bernasib baik. Tidak sampai lima minit, kedengaran suara tangisan anakku memecah keheningan pagi. Tuhan sahaja yang tahu betapa lega dan bersyukurnya hatiku ketika
itu. Sakit hilang serta merta. Aku tidak ingat lagi bagaimana kesakitan itu. Aku seolah-olah lupa apa yang baru sahaja berlaku. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Suaraku tidak keluar. Aku terlalu penat untuk berbuat apa-apa.

Aku memandang ke dinding. Terasa bagai tenagaku disedut kesemuanya oleh proses yang perit tapi indah ini. Ku peluk insan kecil itu dan tidak mahu kulepaskan walau sesaatpun. Rentak jantungnya ku rasakan pada dadaku. Jauh di sudut hati, aku berdoa agar dia akan mahu memelukku seperti mana aku tidak mahu melepaskan dakapanku padanya. Air mataku tidak dapat kusekat. Aku tidak malu pada orang di sekelilingku. Lutfi bergenang menahan air matanya. Mama dan Papa sayang Armaan.. Itulah nama buat mu sayang..

Bersambung....





2 comments: