Showing posts with label Cerita aku (1). Show all posts
Showing posts with label Cerita aku (1). Show all posts

Wednesday, 23 July 2014

Cerita aku (5)

Tiada buku peraturan atau 'code of conduct' yang diberikan kepada ibu atau bapa sebelum menyiapkan diri menyambut kelahiran anak mereka. Bagi aku, setiap hari membesarkan Armaan adalah pengajaran buat ku. Hari ini aku silap, esok akan ku perbaiki apa sahaja yang serba tidak kena,. Malangnya, setiap hari berbeza telatahnya. Tiada hari yang sama. Segala perbuatanku tidak semestinya diterima cara yang sama. Lawak semalam, mungkin sudah basi hari ini. Makanan kegemaran semalam, mungkin menjelekkan pada hari esok.

Babies are fussy. 

Haih. Sabar sahaja dengan karenah baby Armaan. Comel. Tapi menyedut tenaga ku dari dalam. Waktu tidurku makin pendek, tapi belum sempat pukul 9 malam, aku sudah nyenyak tidur dahulu. Most of the time, Lutfi yang menggantiku melayan karenah Armaan di waktu malam. Thanks hubby...but i need my beauty sleep. :) 

Tiada amaran pernah diberikan sebelum menjadi ibu yang betapa cepatnya setiap hari akan berlalu. Betapa pendeknya masa melihat anakku ini membesar. Betapa geramnya hati tatkala melihat Armaan memunggah mainannya acapkali. Betapa sakitnya pinggang mengangkat bayi yang makin berat setiap hari. Betapa penatnya memungut serpihan biskut dan nasi di atas lantai. Betapa indahnya melihat semua kesakitan hilang tatkala Armaan mengucup pipiku. 

Sungguh bermakna. Sungguh indah. Sungguh memuaskan hati menjadi ibu pada Armaan. I love you my son. It doesn' matter now that you did not come with a set of guidelines..


Bersambung.....


Tuesday, 8 July 2014

Cerita aku (4)

Sambungan ...


Tubuh kecil di pangkuan aku tenung sedalam yang boleh. Setiap hembusan nafas ku perhati sahaja. Indah sekali pandangan ku ini. Sungguh kecil insan ini. Tapi besar sekali impak yang aku terima hanya dengan memandang. Terasa seolah-olah aku tidak perlu apa-apa lagi dalam dunia ini. Kehadiran Armaan cukup melengkapkan segala kekurangan duniawi. I am complete.

Memang indah sekali ketika bayi comel ini sedang nyenyak tidur. Lenyap seketika kesusahan dan masalah dunia. Tetapi sekali kelaparan, terus dia menjerit menangis meminta diberikan susu. Haru-biru aku dibuatnya. Kadang-kadang, aku turut menangis sama. Stress juga dibuatnya. Tidurku memang tidak pernah lena. Tangan sudah cramp kerana acapkali tertido dengan Armaan di atas lenganku. Walau penatku hanya Tuhan sahaja yang tahu, aku enggan membiarkan dia jauh dariku lebih dari 10 minit. Aku nekad memberinya susu badanku selama aku mampu menyusukannya.

Sleep deprivation mula memberi kesan yang agak mengganggu emosi ku. Aku terasa seperti mayat bernyawa. Perasaan cepat marah mula menunjukkan belang. Apabila dia menangis, aku seperti hilang kawalan. Kemurungan seolah-olah menunggu untuk menerpa. Setiap hari aku berharap Armaan akan lena lebih lama agar aku juga dapat melelapkan mata yang sudah macam panda bear ini, tetapi apakan daya, babies will always be babies.

Semua ahli keluarga berkeras ingin membantu. Mula-mula, aku terasa seperti tidak mahukan bantuan. I am strong and I can do everything myself. Wow, sombongnya. Tapi aku semakin hilang pertimbangan kerana badanku semakin penat. Aku mengalah juga akhirnya. Aku perlu tidur sehingga batteriku dicaj sepenuhnya. Susu kuperah sebanyak yang boleh dan ku simpan di dalam peti sejuk. Armaan ku serahkan pada ibuku.


Mungkin itu adalah tidur yang paling nyenyak sepanjang hidupku..



Bersambung.....

Wednesday, 28 May 2014

Cerita aku (3)

Cerita aku (3)

Hendak dipendekkan cerita, aku berjaya juga tiba di hospital. Kuat juga kudratku. Ku gagahkan langkah ke dalam bilik dan kemudian ke atas katil. Jururawat tenang sahaja.  Sudah biasa agaknya melihat orang dalam kesakitan. Kelihatan seperti ingin membantu, tapi usahanya seperti tidak ikhlas langsung. Ikutkan hati, hendak sahaja aku tolak misi ke tepi. Tepi kau!!! (Well, i wish i had said that). Sabar Lana, sabar..

Tekanan darah dan perutku diperiksa oleh misi. "Misi, mana doktor ni..?" tanyaku dengan nada tidak sabar sambil menahan sakit.

"Saya sudah telefon doktor. Dia dalam perjalanan. Bila sakit, puan sedut gas ni dalam-dalam ya," sambil memberi aku sejenis tiub yang bersambung ke dinding. Setelah itu, dia terus keluar dari bilik. Takut kena marah agaknya. Aku cuba menyedut, tapi terasa seperti lebih menyusahkan hidup. Ku letak gas ke tepi.

Jam di dinding sudah pukul 6. "Mana doktor ni...,". Aku hanya mampu mengeluh menunggu ketibaan doktor yang tak kunjung tiba. Sakit perut makin memulas-mulas. Kini pinggangku sudah mula sakit. Sakitnya bagaikan ingin cirit-birit yang teramat sangat, tetapi terpaksa ku tahan untuk mengelakkan masalah yang lebih besar. Pinggangku pula bagaikan ingin tercabut dari badan. I need to get over this quickly.

Lutfi kelihatan helpless. Apa sahaja yang dilakukan pasti aku akan marah. Dia cuba mengurut belakangku, tapi tangannya ku tepis apabila sakit datang semula. Apabila dia tidak mengurut, pasti aku akan merengek untuk diurut. Tersenyum aku tatkala teringat balik saat ini. Tuhan sahaja yang
tahu betapa aku sayang pada suamiku ini.


 
                                                             ************


"Mana doktor ni...", kesabaran aku sudah tidak dapat dibendung lagi. DUA jam sudah berlalu. Hari pun sudah terang. Tepat jam 8 pagi, doktor ku masuk dengan memberi salam.

Sampai juga dia ni... Teruk sangat ke traffic jam di luar tu.. Ingin sahaja ku hamburkan kata-kata sinis ini.

"Ok Puan Lana, saya akan periksa jalan ya. Oh, sudah 8 cm! Saya beri dalam tiga jam, insyaAllah baby akan lahir,"


"TIGA JAM??" Oh aku tidak sanggup lagi tunggu lama-lama. Belum sempat doktor keluar dari bilik, aku teran sekuat hati sehingga pecah air ketubanku. Aku SUDAH bersedia untuk bersalin. Tolong jangan biarkan aku SAKIT lebih lama.

Doktor terpaksa memeriksa semula dan bukaan jalan sudah 10cm. Alhamdulillah, aku boleh memulakan proses melahirkan anakku. Kakiku kedua-dua belah diangkat ke atas umtuk memudahkan proses bersalin. Hatiku sungguh takut ketika itu. Adakah sakitnya benar-benar seperti bersabung nyawa? Adakah aku akan dapat lihat anakku? Adakah aku akan pergi menyahut panggilanNya? Adakah aku mampu melakukan ini semua? Tuhan Maha Mengetahui.

Mungkin aku bernasib baik. Tidak sampai lima minit, kedengaran suara tangisan anakku memecah keheningan pagi. Tuhan sahaja yang tahu betapa lega dan bersyukurnya hatiku ketika
itu. Sakit hilang serta merta. Aku tidak ingat lagi bagaimana kesakitan itu. Aku seolah-olah lupa apa yang baru sahaja berlaku. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Suaraku tidak keluar. Aku terlalu penat untuk berbuat apa-apa.

Aku memandang ke dinding. Terasa bagai tenagaku disedut kesemuanya oleh proses yang perit tapi indah ini. Ku peluk insan kecil itu dan tidak mahu kulepaskan walau sesaatpun. Rentak jantungnya ku rasakan pada dadaku. Jauh di sudut hati, aku berdoa agar dia akan mahu memelukku seperti mana aku tidak mahu melepaskan dakapanku padanya. Air mataku tidak dapat kusekat. Aku tidak malu pada orang di sekelilingku. Lutfi bergenang menahan air matanya. Mama dan Papa sayang Armaan.. Itulah nama buat mu sayang..

Bersambung....





Sunday, 25 May 2014

Cerita aku (2)

Cerita aku (2)


Senyap sunyi pagi. Terasa aman buat seketika. Tubuhku diulit kedinginan pagi. Hilang sejenak rasa sakitku.

Ahh.. Spoke too soon. Aku hanya mampu memeluk tubuhku sepanjang perjalanan. Lutfi kelihatan takut untuk bersuara. Tangan kirinya tidak lepas menggenggam tangan kananku. Tangan kanan pula sibuk memandu.

Aku hanya mahu ke hospital secepat yang mungkin. Setiap minit yang berlalu terasa terlalu lama. Jam masih berdetik. Nyawaku seperti sampai di sini sahaja. Tapi aku masih belum bersedia untuk berhenti. Aku masih mahu meneruskan perjuangan dalam hidup ini walau singkat mana nyawaku. Aku belum bersedia untuk menyerah kalah. Tidak sekali.

                                                                **********

Tujuh tahun dulu, aku dan Lutfi hangat bercinta. Sewaktu bersama, terasa masa berhenti seketika untuk melihat kami bergelak tawa. Bila bergembira, seperti tiada esok bagiku. Di universiti, kami memang sentiasa bersama. Sukar untuk lihat salah seorang sahaja. Kami ibarat belangkas. Lana dan Lutfi. Memang sentiasa berdua. Jika tiada Lutfi, aku mudah terasa kosong. Jadualku, memang padat dengan aktiviti bersama lelaki ini yang cukup sempurna buatku. Yeah, he is not perfect. But he is perfect for me. Aku pasti tersenyum tiap kali ku ungkapkan kata-kata ini. Poyo, tapi cukup benar buatku.

Kini, dia suamiku. Sudah tiga tahun kita berumah tangga, namun Lutfi tetap lelaki sama yang aku fell in love with. 

Ramai orang gemar menakut-nakutkan aku.

"Lana, nanti dah kahwin, semuanya akan berubah. Percaya lah cakap aku,".

"Alah, seronok untuk dua tiga minggu pertama sahaja, nanti korang tak sabar untuk jadi single balik,"

"Sekarang ni orang kahwin grand, tapi tak lama nanti cerai lepas 6 bulan.."

Macam-macam kata orang. Jujurnya, I don't know where all these came from. Kadang-kadang aku tertanya-tanya mengapa orang boleh berkata seperti ini. Mungkin mereka ada cerita hidup mereka yang aku tidak tahu. Honestly, I never want to know their side of story. Mesti depressing! Apa-apapun, doakanlah yang terbaik untukku...

"Aduhhhh..sakit bertambah kuat nih.. lambat lagi ke nak sampai ke hospital?" Aku makin hilang sabar.

"Sikit lagi sayang. Sabar ye..". Makin kuat genggaman tangan Lutfi. Seolah-olah itu akan mengurangkan sakitku. Hah. Banyak pula lampu merah. Yang mana tiada kereta, Lutfi langgarkan sahaja. Janganlah kena tahan polis waktu-waktu begini..


Bersambung..




Cerita aku

Cerita aku..


"Aduh sakitnya perutku..". Aku merintih dalam gelap. Ingin sahaja aku kejutkan Lutfi di sebelah, tapi aku bisikkan sahaja rintihan ku. Mungkin tiada apa-apa yang merisaukan. Tangan kanan ku cuba capaikan telefon bimbit kesayanganku. 4:05 am. Baru 4:05 pagi?? Aduh, sakitnya. Memulas-mulas perutku. Setelah 2 minit merintih, aku gagahkan juga kaki ke tandas. Satu perkara yang cukup ku benci; berjalan ke tandas dalam gelap. Ish malasnya..

Rupa-rupanya hanya cirit birit. Haha. Mungkin aku sudah salah makan. Keracunan makanan mungkin? Apa-apalah.

Dua minit kemudian, rasa memulas itu datang semua. Lebih kuat dan lebih lama. "Tak boleh jadi ni..". Aku ke tandas semula. Kali ini aku tidak teragak-agak untuk berlari-lari anak.

Setelah lima minit, aku masuk ke kamar dan baring semula. Rasanya seperti lima jam di dalam tandas. Cukup-cukuplah untuk kali ini. Aku tidak sanggup kehilangan air dalam badan lagi. Habis tenaga ku nanti.

Sakit perutku makin kuat. Sakit untuk 30 saat dan kemudian hilang untuk 2-3 minit. Tapi setiap kali sakit itu datang, tidak senang duduk aku dibuatnya.

"Aduhhhh!" Tidak ku sedar, terkuat pula volume suara ku. Lutfi di sebelah terus terjaga.

"Kenapa sayang?" Tanya Lutfi dengan suara yang risau. Walaupun risau, masih kedengaran juga suara ngantuknya. Adorable. Tapi aku masih dalam kesakitan.

Sedar tak sedar, jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi. Aku sudah menahan kesakitan yang amat dahsyat itu selama hampir satu jam. Mungkin inilah sakitnya yang akan membawa perubahan dalam hidupku selagi ku masih hidup. Mungkin inilah sakitnya yang akan membuatku menangis kegembiraan. Mungkin inilah sakitnya yang akan membuatku tersenyum seorang. Mungkin inilah sakitnya yang akan memberhentikan nafasku. Mungkin inilah sakitnya yang ku tunggu-tunggu selama ini.

"Sayang, mari ke hospital. Tak lama lagi ni....," kataku dengan suara yang hampir tak dapat didengari. Air mata ku mula membasahi pipi. Aku tidak sedih, aku tidak takut. Tapi air mata memang tidak mampu ku bendung.

Lutfi anggukkan sahaja sambil menukar pakaiannya secepat yang boleh.

"Selawat sayang. InsyaAllah semuanya akan selamat,". Bergetar suara Lutfi menenangkan aku. Aku diam sahaja. Tiada lagi ayat untuk dituturkan. Tuhan sahaja yang tahu sakitnya aku ketika ini.


Bersambung....